Sunday, August 9, 2009

Sukan


KUALA LUMPUR - Bintang skuasy Malaysia, Datuk Nicol David nyata tidak mampu disentuh ketika ini. Dan, semalam dia merangkul kejuaraan antarabangsa kelimanya pada tahun 2009 dengan muncul juara Masters Singapura buat kali ketiga berturut-turut.

Jaguh No. 1 dunia itu menumpaskan musuh tradisinya dan pemain No. 3 dunia, Natalie Grinham dari Belanda 11-9, 11-8, 11-9 dalam masa 40 minit.

Malah, Nicol, 25, turut mengukuhkan dominasinya di pentas skuasy wanita dunia dengan merangkul kejuaraan ke-39 keseluruhan dalam kalendar Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut Nicol mengecewakan adik-beradik Grinham pada final Masters Singapura. Dia menumpaskan Natalie pada 2009 dan 2007, dan menundukkan Rachael pada 2008.

Sebelum perlawanan bermula, pengadil, Munir Shah dari Singapura memperkenalkan kedua-dua pemain dengan panjang lebar, malah sempat menyanyikan sebuah lagu.

Set pertama berlangsung dengan amat rapat apabila kedua-dua pemain saling kejar mengejar mata, malah kedudukan seketika terikat 8-8 sebelum Nicol akhirnya berjaya mencipta jurang dan memenangi saingan.

Grinham mendominasi di awal set kedua, termasuk mendahului 6-1 dan 8-2. Begitupun, semangat kental Nicol menyaksikan dia meraih sembilan mata berturut-turut untuk menang 11-8.

Selepas mendahului 2-0, Nicol tidak lagi memandang ke belakang pada set ketiga. Biarpun diberi tentangan sengit oleh Grinham, dia menang 11-9 untuk mengesahkan kejuaraan.

"Saya rasa, kunci kemenangan saya hari ini adalah kerana menumpukan kepada perkara-perkara kecil. Lebih baik saya beri tumpuan kepada permainan sendiri daripada bimbangkan tentang lawan.

"Saya juga sentiasa memastikan bahawa saya hanya akan memberikan yang terbaik, setiap kali memasuki gelanggang,'' ujar Nicol, yang sebelum ini turut menjuarai Terbuka Malaysia, Seoul, Texas dan Cayman Island.

Bagi Grinham pula, dia telah melakukan yang terbaik untuk memberi tekanan kepada Nicol sepanjang perlawanan ini.

"Set kedua paling penting. Saya tidak rasa saya melakukan banyak kesilapan, sebaliknya Nicol yang bermain dengan baik dan berjuang untuk bangkit.

"Sejak beberapa tahun lalu saya bergelut dengan kecederaan, namun sekarang semuanya dalam keadaan terbaik. Saya datang ke sini dengan fizikal yang mantap dan saya benar-benar ingin membawa pulang gelaran di Singapura,'' akui Grinham.





0 comments: